Matlamat
Mencapai kepentingan dan aspirasi bersama di dalam aktiviti ekonomi, sosial, budaya dan kebajikan melalui satu badan yang dimiliki bersama dan terkawal secara demokrasi selaras dengan Prinsip-prinsip Koperasi (diterima pakai mulai 24 September 1995 di persidangan ICA yang telah diadakan di Manchester, United Kingdom, iaitu :-
1. Keanggotaan sukarela dan terbuka
Koperasi adalah organisasi sukarela yang terbuka kepada semua orang yang boleh mengguna perkhidmatannya dan yang sedia menerima tanggungjawab keanggotaan tanpa mengira diskriminasi jantina, lapisan masyarakat, bangsa, politik mahupun agama.
2. Kawalan demokrasi oleh anggota
Koperasi adalah organisasi demokratik yang dikawal oleh anggotanya yang mengambil bahagian secara aktif di dalam usaha menentukan dasar dan pembuatan keputusan. Lelaki dan wanita yang berkhidmat sebagai wakil dipilih bertanggungjawab kepada semua anggota. Di dalam koperasi asas, anggotanya mempunyai hak mengundi yang sama (satu anggota satu undi) dan koperasi – koperasi di tahap lain disusun secara demokratik.
3. Penglibatan ekonomi oleh anggota
Setiap anggota menyumbang modal secara saksama dan mengawal modal koperasi itu secara demokrasi. Sekurang-kurangnya sebahagian daripada modal itu menjadi harta bersama koperasi itu. Pada umumnya, anggota yang menyumbang modal sebagai syarat keanggotaan akan menerima pulangan terhad, jika ada. Anggota akan membahagikan lebihan atau keuntungan dengan tujuan berikut, iaitu: memajukan koperasi mereka mungkin melalui rizab yang sebahagian daripadanya tidak boleh diagih-agihkan kepada anggota, manfaatkan anggota mengikut nisbah urusniaga mereka dengan koperasi itu; dan membantu kegiatan lain yang dipersetujui oleh keanggotaan.
4. Autonomi dan kebebasan
Koperasi adalah organisasi berautonomi dan berdikari yang dikawal oleh anggotanya. Jika koperasi itu menandatangani perjanjian dengan organisasi lain termasuk kerajaan atau mendapat modal daripada sumber luar maka ia harus memelihara prinsip kawalan demokrasi oleh keanggotaan sambil autonomi koperasi itu dikekalkan.
5. Pendidikan, latihan dan matlamat
Koperasi menyediakan pendidikan dan latihan untuk anggotanya, wakil yang dipilih, pengurus serta kakitangan supaya mereka boleh menyumbangkan tenaga secara berkesan kepada pembangunan koperasi mereka. Koperasi memberi maklumat kepada rakyat umum khususnya kepada remaja dan pemimpin masyarakat.
6. Bekerjasama antara koperasi
Koperasi berkhidmat kepada anggotanya dengan cara yang paling berkesan dan ia memperkukuhkan Gerakan koperasi jikalau ia bekerja bersama-sama dengan struktur koperasi lain, setempat, nasional, serantau dan antarabangsa.
7. Berprihatin terhadap masyarakat
Koperasi berusaha untuk mendapatkan pembangunan berkekekalan bagi masyarakatnya melalui dasar-dasar yang dipersetujui oleh anggotanya.